SEJARAH PERPUSTAKAAN TUN DR. ISMAIL, UiTM CAWANGAN JOHOR

KAMPUS SEGAMAT

Perpustakaan telah memulakan perkhidmatannya di Bukit Siput pada tahun 1983 dan kemudian  telah berpindah ke Segamat Baru pada tahun 1984. Pada tahun 1990 pula telah berpindah di KM12, Jalan Muar – Segamat.  Pada pertengahan bulan Mei 1998 pula telah memulakan operasinya di bangunan sendiri dan pada 04 Mei 2005 Perpustakaan UiTM Johor dengan rasminya telah dinamakan ”Perpustakaan Tun Dr. Ismail”. Nama ini telah diambil sempena nama Timbalan Perdana Menteri yang ke 2 iaitu Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Abdul Rahman. Encik Taufiq bin Tun Dr. Ismail (Anak lelaki Tun Dr. Ismail) telah memberi kebenaran untuk penggunaan nama tersebut.

PTDI kini mempunyai seramai 22 orang staf yang diketuai oleh seorang Timbalan Ketua Pustakawan (S48), Puan Nor Asiha binti Alias dan tiga orang Pustakawan Kanan (S44) iaitu Pn. Mawar Noor binti Abdullah, Pn. Siti Rozana binti Mat Sanat  dan En. Ahmad Akmal bin Mohd Idris.

Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI) merupakan perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Johor yang merupakan tempat rujukan bagi semua warga kampus secara amnya. Pelbagai kemudahan dan perkhidmatan disediakan di perpustakaan ini bagi bertujuan untuk melahirkan graduan yang berilmu dan berdaya saing serta kakitangan yang berpengalaman luas dan dapat memberikan inovasi dalam membina insan untuk pembangunan negara. PTDI sentiasa berusaha untuk menyediakan perkhidmatan terbaik bagi semua pengguna dengan menerima segala cadangan dan kritikan yang diajukan.

PTDI 2 mempunyai bangunan dua tingkat di mana keluasan tingkat bawah ialah seluas 22,400 kaki persegi  dan tingkat atas seluas 16,000 kaki persegi. Jumlah pengguna  yang boleh memasuki PTDI pada satu satu masa ialah seramai 600 orang.

Seiring dengan perkembangan UiTM, pada tahun 2012, PTDI telah menerima satu bangunan baru yang kini dikenali sebagai PTDI 1. PTDI 1 boleh menempatkan kira-kira 500 orang pada satu-satu masa. Bangunan lama PTDI masih dikekalkan dan dikenali sebagai PTDI 2.

KAMPUS PASIR GUDANG

Perpustakaan Tun Dr Ismail, Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang pula telah memulakan perkhidmatan nya di Kampus Johor Bahru pada 2 Julai 2007 dan kemudian telah berpindah ke Pasir Gudang pada 4 Mei 2014 tetapi telah mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Jun 2014.

Bangunan Perpustakaan ini terletak bersebelahan dengan Dewan Kuliah dan Bangunan Fakulti Pengurusan Perniagaan.  Perpustakaan ini mempunyai seramai 9 orang staf diketuai oleh Ketua Perpustakaan (Pustakawan Kanan), seorang Pustakawan Kanan dan 7 orang Pembantu Pustakawan.

Pelbagai kemudahan disediakan untuk pengguna perpustakaan seperti Bilik Belajar 24 Jam, Makmal Komputer, Bilik Seminar, Bilik Audio Visual, Bilik Perbincangan, Ruang Bacaan Santai dan Terbuka. Jumlah pengguna yang boleh memasuki PTDI pada satu satu masa ialah seramai 850 orang.